Lelaki ditembak polis miliki 16 rekod jenayah, dadah ditemukan dalam kereta

POLIS Johor hari ini mengesahkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah lampau cedera di kepala selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan polis dalam kejadian di Jalan Gertak Merah di Johor Bahru semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta Honda City dipandu lelaki berkenaan selepas suspek didakwa memandu secara melulu, merempuh kenderaan awam dan enggan berhenti ketika diarahkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

KERETA Honda City dinaiki suspek lelaki yang cedera dalam kejadian tembakan di Jalan Gertak Merah di Johor Bahru semalam, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini. GAMBAR: Facebook Polis Johor

Menurutnya, suspek memandu secara berbahaya sehingga mengancam nyawa orang awam, menyebabkan polis melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan berkenaan selepas mengejarnya sejauh kira-kira satu kilometer.

“Satu daripada tembakan itu terkena bahagian kepala suspek. Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah lampau, selain dikehendaki bagi satu kes dadah di Seri Alam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Ab Rahaman berkata, rekod lampau suspek membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, termasuk Seksyen 15(1), Seksyen 39A dan Seksyen 12(2).

Bagi rekod jenayah pula, katanya, suspek pernah disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun, Seksyen 376 bagi kesalahan rogol, Seksyen 379 berkaitan kecurian dan Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan.

Pemeriksaan lanjut terhadap kereta yang dipandu suspek turut membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM6,350.

Antara yang dirampas adalah tujuh peket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 373.8 gram, bernilai kira-kira RM2,100, serta 17 katrij vape mengandungi cecair disyaki ketamin dengan anggaran isipadu 6.8 mililiter, bernilai RM4,250.

Dalam kejadian sama, seorang wanita tempatan berusia 29 tahun yang berada di dalam kereta itu turut ditahan. Wanita berkenaan dipercayai rakan kepada suspek lelaki.

Semakan polis mendapati wanita itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952.

Ab Rahaman berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua individu berkenaan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media semalam melaporkan kejadian tembakan membabitkan anggota polis dan orang awam di Jalan Gertak Merah, berhampiran Zoo Johor di Johor Bahru. Perkembangan lanjut berhubung kejadian itu masih tertakluk kepada siasatan pihak polis.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here