SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah kira-kira 1,010 titik akses Wi-Fi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memperluas liputan Internet di kampus itu.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha MCMC untuk memastikan warga Sabah, khususnya pelajar dan warga institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat akses kepada perkhidmatan Internet yang berkualiti tinggi.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi projek yang melibatkan penambahan titik akses Wi-Fi di universiti awam di seluruh negara, dengan MCMC menggunakan dana sendiri bagi menyokong pelaksanaannya.
“Di Malaysia, kita mempunyai 20 universiti awam serta MCMC sekali lagi menggunakan dana sendiri untuk menambah titik akses Wi-Fi di universiti, dan semestinya UMS adalah antara universiti yang turut terlibat dalam projek ini,” katanya pada sesi temu bual langsung bersama SABAHfm di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di Kota Kinabalu hari ini.
Teo berkata penambahan itu akan menjadikan liputan Internet di kampus berkenaan lebih menyeluruh, sekali gus meningkatkan kemudahan capaian Internet untuk warga universiti.
Dalam pada itu, Teo berharap pelaksanaan fasa kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 akan terus menambah baik liputan 4G di kawasan pedalaman dan kawasan yang kurang penduduk di Sabah.
Beliau berkata meskipun kawasan berkenaan tidak mempunyai nilai komersial kepada syarikat telekomunikasi, kementerian akan menggunakan teknologi terkini seperti satelit bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Sempena lawatan ke kompleks itu, Teo turut meninjau perkembangan dan operasi jabatan serta fasiliti di bawah Kementerian Komunikasi termasuk konti SABAHfm, Studio Hiburan dan Muzik serta set televisyen rancangan “Kami Bah Ini”.





