Anggota Cawangan Khas buat laporan polis baharu dikasari KP AKPS

ANGGOTA polis Cawangan Khas, Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, membuat laporan polis baharu bagi mengemukakan bukti tambahan berhubung dakwaan dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Peguam yang mewakilinya, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin, berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Sungai Besi pada 10 Oktober lalu, lapor Harian Metro.

Menurut laporan berkenaan, Mohammad Faiz mendakwa telefon bimbitnya dirampas ketika merakam gambar satu insiden di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum dia ditahan secara salah, dikasari, dipukul dan diugut.

Dalam kenyataan firma guaman itu, fakta kes didakwa menjurus kepada kemungkinan kesalahan di bawah Seksyen 186, 323, 353, 355 dan 506 Kanun Keseksaan.

Kesalahan berkenaan merangkumi perbuatan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, mendatangkan kecederaan, menggunakan kekerasan jenayah dan melakukan ugutan jenayah.

Kenyataan itu turut mendakwa Mohammad Faiz dan seorang lagi anggota, Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman, yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO), dikasari Mohd Shuhaily di kawasan awam sehingga menyebabkan kecederaan serta menjejaskan maruah mereka.

Kedua-dua anggota itu turut menafikan dakwaan bahawa mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau terbabit dalam kegiatan counter setting, iaitu mengatur kemasukan warga asing.

Firma guaman berkenaan juga mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan kenyataan palsu mengenai peguam dan anak guam mereka, termasuk dakwaan kos guaman dibiayai sindiket jenayah.

Menurut kenyataan itu, penyebaran dakwaan palsu boleh melibatkan Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Minggu lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilaporkan berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Polis setakat ini merakam keterangan 25 individu sebagai saksi, manakala beberapa aspek termasuk pengesahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masih memerlukan penelitian sebelum siasatan dilengkapkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here