SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Independent Corrupt Practices and Other Related Offences Commission (ICPC) Nigeria berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah menerusi lawatan penandaarasan delegasi negara itu ke Malaysia, baru-baru ini.
Kerjasama itu dizahirkan menerusi Majlis Ramah Mesra yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya pada 2 Oktober lalu, melibatkan delegasi ICPC Nigeria yang diketuai pengerusinya, Dr Musa Adamu Aliyu bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.

SPRM dalam kenyataan berkata, majlis berkenaan turut menjadi platform bagi kedua-dua agensi membincangkan pendekatan masing-masing dalam menangani rasuah, selain mengenal pasti peluang untuk memperluas kerjasama dalam bidang berkaitan.
Menurutnya, sepanjang lawatan tersebut, delegasi ICPC Nigeria diberi pendedahan mengenai fungsi dan pendekatan SPRM, termasuk aspek operasi, pelaksanaan inisiatif pencegahan serta pembangunan kapasiti pegawai.
“Pertukaran pengetahuan dan pengalaman itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk memahami amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan dalam memperkukuh usaha menangani rasuah, khususnya berdepan cabaran yang semakin kompleks dan merentasi sempadan negara,” kata kenyataan SPRM.

Majlis ramah mesra berkenaan menandakan berakhirnya rangka lawatan rasmi delegasi ICPC Nigeria ke SPRM sebelum mereka berlepas pulang ke Nigeria pada 3 Oktober lalu.
Delegasi ICPC Nigeria turut disertai Pengarah Bahagian System Study and Review, Olusegun Adigun; Pengarah Bahagian Special Services, Hassan Mohammed serta Ketua Unit External Cooperation, Ahmed Abdul.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi bersama barisan pengarah kanan dan pengarah bahagian SPRM.





