SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera berhubung penyebaran imej Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang disunting dengan unsur penghinaan dan dimuat naik menerusi platform media sosial Threads.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menghubungi Meta selaku penyedia platform berkenaan susulan penularan kandungan tersebut.
Hasil tindakan itu, katanya, kandungan berkenaan telah diturunkan, manakala akaun yang terlibat turut disekat daripada diakses.
“Susulan itu, kandungan berkenaan telah diturunkan, manakala akaun terlibat turut disekat daripada diakses,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut MCMC, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan berkenaan.
Suruhanjaya itu turut memberi amaran bahawa tindakan lanjut boleh diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“MCMC akan terus bekerjasama dengan pihak penyedia platform bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil selaras dengan garis panduan komuniti dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuat naik atau menyebarkan semula imej berkenaan bagi mengelakkan kandungan tersebut terus tersebar secara meluas.
“MCMC menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan semula kandungan berkenaan bagi mengelakkan penyebarannya terus meluas,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menggunakan fungsi pelaporan pada platform Threads, Portal Aduan MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my atau saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.





