Suspek pukul pemuda guna topi keledar ditahan polis

SEORANG daripada lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian memukul dan menendang seorang pemuda sehingga parah di Inanam, Kota Kinabalu, ditahan polis awal pagi tadi.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan itu dibuat hasil siasatan lanjut susulan laporan yang diterima daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang semalam.

“Usaha mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai memukul dan menendang mangsa berusia 23 tahun, termasuk menggunakan topi keledar, dalam kejadian malam Sabtu lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here