RAKYAT Kedah menggesa kerajaan negeri ini turut mengambil tanggungjawab terhadap masalah pembinaan Litar Lumba Sungai Petani yang kini tergendala.
Kata mereka, walaupun projek tersebut diuruskan oleh swasta namun apabila ada masalah Kerajaan Negeri Kedah perlu mendapatkan penjelasan daripada syarikat terlibat supaya rakyat mengetahui apa yang berlaku.
Ashmida Md Aris, 38, berkata, tindakan melepaskan tanggungjawab atau menganggap projek itu urusan pihak swasta semata-mata tidak wajar, memandangkan kerajaan negeri sebelum ini turut mempromosikan fasiliti itu sebagai pemangkin ekonomi dan kemudahan untuk anak muda.

Katanya, rakyat memberikan mandat kepada pemimpin bukan sahaja untuk mengambil kredit sewaktu projek berjaya atau dirasmikan, tetapi berdiri di depan dan mengaku kesilapan serta mencari jalan penyelesaian apabila projek tersebut gagal atau terbengkalai.
“Kalau projek ini berjaya, siapa yang berdiri paling depan ambil publisiti? Mesti kerajaan negeri dan Menteri Besar. Jadi, bila projek ini gagal atau disiasat polis, mereka jugalah yang wajib ke depan bagi penjelasan, bukannya tolak dengan kata ini urusan swasta semata-mata.
“Projek litar ini bukan kedai runcit biasa, ia projek mega bernilai puluhan juta yang dicanang merata tempat sebagai pemangkin ekonomi negeri dan tempat anak muda. Sebelum diumum, kerajaan negeri sebagai gatekeeper yang ada agensi dan kuasa boleh menyiasat latar belakang mana-mana syarikat sebelum kelulusan diberi,” katanya.
Pada 8 Oktober lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan pihak tertentu agar tidak mengaitkan dirinya atau kerajaan negeri dengan isu pecah amanah RM40 juta melibatkan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.
Beliau mengingatkan pihak tertentu supaya tidak membuat tuduhan tanpa mengetahui keseluruhan perkara kerana ia boleh membawa kepada fitnah.
Menurut Sanusi kes berkenaan melibatkan urusan antara syarikat dan pihak berkuasa kini perlu menyelesaikannya selain menegaskan tidak mengetahui identiti individu yang ditahan.
“Syarikat dengan syarikat, dia punya hal. Mereka selesai di pihak berkuasa, saya pun tak tahu. Saya nak jawab pihak orang tak boleh. Orang itu pun saya tak kenal siapa yang kena tangkap. Saya tak tahu, siapa yang duit hilang pun saya tak tahu. Jadi macam mana mereka tuduh Sanusi pula,” katanya kepada pemberita di Padang Terap.
Bagi Abdullah Mohamad, 41, sesebuah projek mungkin melibatkan pelbagai pihak, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan tanggungjawab kerajaan dalam mendapatkan penjelasan.

“Memimpin bererti berani berhadapan dengan persoalan, bukan sekadar berdiri di hadapan ketika menerima pujian. Sama ada wujud kecuaian, kelemahan pengurusan atau faktor lain yang menyumbang kepada masalah itu, ia perlu disiasat secara telus dan adil.
“Di sini pentingnya good governance. Sesebuah pentadbiran tidak boleh hanya kelihatan tersusun ketika semuanya berjalan lancar tapi keutuhan sistem tadbir urus sebenarnya diuji apabila masalah mula timbul.
“Siapa yang memantau? Siapa yang buat keputusan? Di mana kawalan risiko? dan apabila berlaku kegagalan, adakah dokumentasi serta akauntabiliti cukup kukuh untuk jelaskan apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Sementara itu, Dinie Roslan, 26, berkata, apabila sesebuah kerajaan mengumumkan projek pembangunan dengan penuh keyakinan, rakyat berhak mengharapkan hasil yang sepadan dengan pengumuman tersebut.
Katanya, rakyat tidak meminta pemimpin memberi jaminan bahawa setiap projek pasti berjaya tetapi rakyat menuntut pemimpin menjelaskan apa yang berlaku apabila sesuatu projek tidak berjalan seperti yang dirancang.
“Dalam isu litar lumba di Sungai Petani, penjelasan bahawa projek berdepan masalah akibat pihak swasta perlu dinilai bersama rekod keputusan dan tindakan kerajaan negeri. Ada beza yang penting antara menjelaskan punca masalah dengan menggalas tanggungjawab pentadbiran,” katanya.
Tambahnya, dalam prinsip asas akauntabiliti, sesuatu jawatan yang dipegang membawa kepada tanggungjawab dan setiap pengumuman yang dibuat membawa komitmen, manakala komitmen pula mesti dinilai berdasarkan pelaksanaan.
“Kerajaan negeri tidak boleh hanya mahu dikaitkan dengan pengumuman pembangunan ketika semuanya kelihatan baik, tetapi menganggap persoalan tentang tanggungjawab tidak lagi relevan apabila masalah timbul,” katanya.
Nur Shaqera Mutalib, 28, pula menyatakan tanggungjawab tidak semestinya bermaksud mengakui kesalahan yang belum dibuktikan, tetapi memastikan setiap persoalan diteliti, setiap keputusan dipertanggungjawab dan setiap kelemahan diperbetul.
Katanya, rakyat memahami bahawa bukan semua perancangan akan berjalan seperti diharapkan, namun apa pun alasannya, rakyat berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terutama apabila projek tersebut diumumkan atas nama pembangunan negeri.
“Jika projek dilaksana melalui anak syarikat kerajaan negeri, sewajarnya setiap pihak memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah. Mereka perlu bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan.
“Manakala kerajaan negeri perlu memastikan pemantauan dan tadbir urus berjalan dengan baik. Ini bukan soal mencari siapa salah, tetapi memastikan kita tahu apa yang berlaku, apa yang boleh dibaiki dan bagaimana perkara sama dapat dielak pada masa hadapan,” katanya.





