SEORANG buruh sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar, hari ini atas empat pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di daerah ini, sejak Disember tahun lalu.
Tertuduh berusia 33 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10 pagi hingga 10 malam, dari Disember tahun lalu hingga September lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.
Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak ditawarkan jaminan berikutan kesalahan yang dihadapi adalah serius dan mangsa serta tertuduh masih tinggal bersama.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta pelantikan peguam.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh.





