PENDEKATAN diplomasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi langkah penting dalam usaha menyelesaikan isu pelarian Myanmar yang berlarutan sekian lama.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan serta Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu yang melibatkan pelbagai etnik dari negara berkenaan, termasuk Rohingya, telah menimbulkan pelbagai cabaran kepada negara, termasuk dari sudut keselamatan serta keresahan masyarakat.
Beliau berkata, walaupun Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, pengurusan isu berkenaan tetap perlu mengambil kira tanggungjawab kemanusiaan serta kepentingan keselamatan negara.

“Pendekatan diplomasi berteraskan semangat ASEAN dan hubungan dua hala merupakan langkah yang wajar dalam mencari penyelesaian. Usaha membawa Myanmar menerima semula rakyatnya dapat membuka ruang kepada pengurusan pelarian yang lebih tersusun tanpa mengetepikan keselamatan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pendekatan diplomasi Perdana Menteri dalam menangani isu pelarian Myanmar sehingga memungkinkan sejak Januari 2026, lebih 10,000 warga Myanmar dihantar pulang. Manakala pada 8 Oktober lalu, Presiden Myanmar Min Aung Hlaing dalam pertemuan dengan Anwar menyatakan kesediaan menerima semula antara 3,000 hingga 4,000 lagi rakyatnya yang kini berada di depot imigresen.
Myanmar juga bersedia menanggung kos penghantara pulang tersebut.
.Dr.Noor Nirwandy berkata, kerjasama antara kerajaan dengan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia, juga penting bagi memastikan urusan dokumentasi, pengesahan identiti dan penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur.
“Langkah ini boleh menjadi asas kepada satu mekanisme pengurusan pelarian yang lebih sistematik. Namun, usaha diplomasi perlu diteruskan supaya penyelesaian yang dicapai bukan sekadar melibatkan penghantaran pulang, tetapi turut menangani punca krisis di Myanmar,” katanya.
Dr Noor Nirwandy berkata, masyarakat antarabangsa dan negara anggota ASEAN juga perlu memainkan peranan melalui tekanan diplomatik bagi menggalakkan Myanmar menangani isu kewarganegaraan, keselamatan dan perlindungan hak asasi etnik Rohingya.
“Penyelesaian jangka panjang perlu memastikan hak dan keselamatan golongan berkenaan terjamin. Pada masa sama, Malaysia perlu meneruskan pendekatan yang seimbang antara pertimbangan kemanusiaan, diplomasi dan kepentingan keselamatan negara,” katanya.





