RAJA Jordan, Raja Abdullah II mencadangkan supaya kerjasama pertahanan dengan Malaysia dipertingkatkan, khususnya dalam teknologi ketenteraan serta keupayaan peperangan menggunakan dron dan antidron, bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Baginda bertitah, keupayaan Malaysia dalam bidang industri, perisikan dan pembangunan bakat berpotensi melengkapi usaha Jordan memodenkan angkatan tenteranya, sekali gus membuka ruang baharu dalam hubungan pertahanan kedua-dua negara.
“Beta percaya bahawa keupayaan industri, perisikan dan bakat muda yang dimiliki Malaysia dapat melengkapi usaha kami melaksanakan perubahan besar dalam angkatan tentera, khususnya dalam peralihan kepada peperangan menggunakan dron dan antidron,” titah baginda, lapor Bernama.
Baginda bertitah demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini, sempena lawatan negara selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.
Raja Abdullah II turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama perisikan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara, terutama ketika corak peperangan dan ancaman keselamatan terus berubah.
Menurut baginda, perkembangan konflik di Ukraine serta situasi keselamatan di rantau masing-masing menunjukkan keperluan untuk mempererat kerjasama dalam bidang teknologi pertahanan.
Selain sektor pertahanan, baginda turut menggesa hubungan antara komuniti perniagaan Jordan dan Malaysia dipergiatkan melalui pertukaran serta lawatan bagi mengenal pasti peluang kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Baginda bertitah, usaha itu penting ketika laluan perdagangan global, rantaian bekalan dan kerjasama ekonomi berdepan perubahan yang memerlukan kedua-dua negara meneroka peluang baharu.
Dalam hubungan ekonomi, Raja Abdullah II menyatakan keterbukaan Jordan untuk memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam bidang minyak sawit, industri halal, pendidikan dan inovasi.
Baginda turut menekankan kepentingan meningkatkan pertukaran pendidikan bagi membantu mempersiapkan generasi muda kedua-dua negara menghadapi perkembangan teknologi baharu.
Raja Abdullah II juga berharap Sultan Ibrahim dan Kerajaan Malaysia dapat mengadakan lawatan ke Jordan dalam beberapa bulan akan datang bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka bidang kerjasama tambahan.
Menyentuh perkembangan serantau, baginda berkata, Jordan dan Malaysia mempunyai pendirian yang sehaluan mengenai isu Palestin, termasuk sokongan terhadap penyelesaian dua negara.
Baginda menggesa supaya pelanggaran oleh Israel di rantau berkenaan, termasuk di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis, dihentikan, selain menegaskan kepentingan memelihara status quo sejarah dan perundangan di tempat-tempat suci.
Raja Abdullah II turut menekankan bahawa kedaulatan dan keselamatan Lubnan serta Syria perlu dihormati, sambil menyeru masyarakat antarabangsa mengambil langkah bagi mengelakkan ketegangan daripada meningkat dan konflik daripada merebak.
Baginda bertitah, Jordan dan Malaysia boleh terus mempererat kerjasama dalam menangani cabaran serantau serta menyokong usaha memelihara keamanan dan keselamatan.





