SEORANG lelaki ditemukan maut berhampiran pencawang elektrik di Kilometer 21, Felda Adela menghala ke Sungai Rengit, Kota Tinggi, pagi Isnin, dengan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel turut ditemukan di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.46 pagi.
Menurutnya, mangsa ditemukan terbaring kira-kira satu meter dari pencawang elektrik dan 20 meter dari jalan raya.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemukan dan tiada tanda awal yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, antara peralatan yang ditemukan ialah cangkul kecil berukuran 45 sentimeter, tukul besi, perengkuh paip, mesin canai tanpa wayar dan lampu suluh kepala.
Yusof berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (LMM) dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Polis Balai Adela, SM Muhammad Aliff Syah Abdullah di talian 013-742 6353 atau IPD Kota Tinggi di talian 07-883 1222.




