WANG simpanan seorang pesara jurutera berjumlah RM660,000 lesap selepas dia terperdaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud yang ditemuinya menerusi Facebook.
Mangsa berusia 56 tahun itu dipercayai tertarik dengan janji pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus sebelum melakukan tujuh transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Menurutnya, mangsa yang juga bekas jurutera sebuah syarikat swasta mula berurusan dengan suspek selepas melihat iklan pelaburan di Facebook pada 5 Februari lalu.
“Mangsa kemudian menekan pautan iklan terbabit sebelum berurusan dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp.
“Individu berkenaan menawarkan skim pelaburan saham dengan modal permulaan RM10,000 serta menjanjikan pulangan sebanyak 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkiflee berkata, mangsa yang mempercayai tawaran tersebut kemudian memindahkan wang berjumlah RM660,000 menerusi tujuh transaksi ke tiga akaun bank atas nama syarikat berlainan.
Bagaimanapun, mangsa tidak memperoleh keuntungan seperti dijanjikan, malah terus diminta membuat bayaran tambahan oleh individu berkenaan.
“Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu sebelum menghubungi NSRC dan membuat laporan polis.
“Keseluruhan kerugian RM660,000 itu membabitkan wang simpanan mangsa,” katanya.
Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Zulkiflee menasihatkan orang ramai supaya menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Beliau turut mengingatkan mangsa yang terlibat dalam penipuan kewangan supaya segera menghubungi NSRC menerusi talian 997 dan membuat laporan di balai polis berhampiran.





