PPIM mahu hukuman lebih tegas terhadap scammer, termasuk sebat dan lucut harta

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa hukuman lebih berat terhadap individu yang terbabit dalam jenayah penipuan dalam talian termasuk sebatan, pelucutan harta dan penelitian terhadap penggunaan Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan lebih tegas perlu dipertimbangkan bagi memastikan hukuman yang dikenakan setimpal dengan jumlah kerugian ditanggung mangsa, terutama apabila penipuan membabitkan nilai wang yang besar.

Menurut beliau, hukuman sedia ada dilihat tidak sepadan dengan skala kerugian yang dialami mangsa, memandangkan terdapat kes yang melibatkan jumlah sehingga jutaan ringgit.

“Ketika ini, hukuman dikenakan agak ringan iaitu denda RM3,000, sedangkan penipuan dilakukan membabitkan jutaan ringgit.

“Ribuan mangsa membuat aduan kepada PPIM dan ada yang mendakwa kerugian sehingga RM500,000 diperdaya sindiket penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Anti-Scam Internet Selamat (BASIS) Siri 1 di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur hari ini.

Program berkenaan dianjurkan PPIM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat dan mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, cadangan memperketat hukuman terhadap penjenayah terbabit wajar dikemukakan kepada penggubal undang-undang untuk penelitian, khususnya bagi memperkukuh langkah pencegahan dan tindakan terhadap kegiatan berkenaan.

Katanya, jenayah penipuan dalam talian kini semakin membimbangkan berikutan pelaku menggunakan pelbagai helah, termasuk manipulasi psikologi yang dirancang untuk mempengaruhi mangsa sehingga menyerahkan wang atau maklumat peribadi.

Beliau berkata, taktik sedemikian membolehkan penjenayah menyasarkan pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira umur mahupun latar belakang.

Malah, Nadzim turut berkongsi pengalaman keluarganya apabila anak beliau sendiri pernah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Menurutnya, pelaku terbabit akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap selepas usaha menjejakinya dilakukan selama setahun empat bulan.

Pengalaman itu, katanya, menunjukkan betapa pentingnya usaha meningkatkan kesedaran awam dilaksanakan secara berterusan, selari dengan perubahan taktik yang digunakan sindiket penipuan.

“Usaha mendidik masyarakat perlu dilakukan secara berterusan kerana penjenayah sentiasa mengubah taktik bagi memperdaya mangsa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here