POLIS menyiasat kejadian kebakaran kecil di kawasan penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, awal pagi tadi yang dipercayai berpunca daripada balingan bom petrol atau molotov.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas molotov dibaling ke arah beberapa rumah sehingga menyebabkan kebakaran kecil pada pagar rumah.
Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan atau kerosakan lain dilaporkan.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan individu yang tidak berpuas hati dengan dua hantaran video tular di Facebook yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya mencabar orang Melayu datang ke kawasan berkenaan.
“Hantaran video itu memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya mencabar orang Melayu untuk datang ke kawasan Kulai, selain mendakwa orang Melayu pengecut serta tidak berani masuk ke kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis menerima satu laporan berkaitan video tular itu daripada seorang lelaki warga Rohingya berusia lingkungan 30-an yang menafikan pembabitannya dalam kedua-dua video berkenaan.
Lelaki itu mendakwa gambarnya disalahgunakan pihak lain untuk menghasilkan video berkenaan.
Ab Rahaman berkata, dua kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 436, Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menegaskan polis memandang serius kejadian itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keamanan serta keharmonian di Johor.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di 07-2212999.





