Setiausaha politik PM tanding kerusi DUN Paya Rumput

 

SETIAUSAHA  Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin mengesahkan beliau bakal bertanding di kerusi DUN Paya Rumput pada PRN Melaka akan datang.

Azman berkata beliau akan menggalas amanah yang diberikan dan menerima apa jua keputusan PKR berhubung pencalonannya mewakili Pakatan Harapan (PH).

“Ya, setakat ini, insya-Allah saya akan bertanding di Paya Rumput. Kalau itu amanah parti, saya menerima apa saja keputusan parti. Kalau disuruh bertanding di Melaka, saya akan bertanding,” katanya lapor FMT.

Pengesahan itu sekali gus menamatkan spekulasi khabar angin bahawa Azman, yang juga pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, akan bertanding pada pilihan raya itu.

Pada PRN 2021, kerusi DUN Paya Rumput dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Rais Yasin dengan majoriti 629 undi.

Beliau menewaskan empat calon lain, termasuk bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) serta calon PN dan bebas.

Sementara itu beliau berkata kerusi DUN Ayer Keroh kekal ditandingi DAP.

Katanya,  persetujuan itu dicapai dalam perbincangan pimpinan PH Melaka, sekali gus menafikan dakwaan PKR akan mengambil alih kerusi DAP.

“Mungkin laporan media yang memetik PKR akan bertanding di Ayer Keroh itu berdasarkan salah faham. Kenyataan mengenai DUN Ayer Keroh merujuk kepada bakal ditandingi komponen PH, bukannya PKR secara khusus,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka ke-16, manakala penamaan calon dijadualkan pada 31 Okt.

Menurut SPR, seramai 687,697 pengundi berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga 22 Sept lalu layak mengundi pada PRN berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here