Jerebu : Boikot syarikat terlibat kebakaran,kemuka bantahan diplomatik – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menggesa rakyat Malaysia memboikot syarikat terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Sambil menegaskan, tindakan itu sama seperti mana dilakukan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika krisis dengan United Kingdom, Syed Saddiq berkata,  rakyat tidak seharusnya hanya mengharapkan kerajaan bertindak, sebaliknya perlu memberi tekanan kewangan kepada syarikat terbabit.

“Kita mempunyai kuasa dan kuasa membeli yang akhirnya boleh membuatkan syarikat-syarikat Indonesia berasa bimbang,” katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari.

Pada masa sama, Syed Saddiq terus menggesa Malaysia mengemukakan bantahan diplomatik tegas kepada Indonesia serta mendapatkan sokongan negara ASEAN lain khususnya Singapura.

Katanya, kedua-dua negara juga boleh menggunakan pengaruh institusi kewangan masing-masing untuk menyekat pembiayaan kepada syarikat yang didapati terbabit pembakaran hutan.

Syed Saddiq berkata, jerebu bukan sahaja menjejaskan pelancongan dan kesihatan awam, malah mengganggu pendidikan apabila sekolah terpaksa ditutup.

“Murid daripada keluarga berpendapatan rendah paling terkesan kerana tidak semua mempunyai komputer, tablet atau akses internet yang baik untuk mengikuti pembelajaran dalam talian,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Malaysia mempertimbangkan undang-undang seumpama Akta Jerebu Rentas Sempadan Singapura bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat menyebabkan pencemaran merentasi sempadan.

Beliau berkata, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap syarikat Malaysia yang didapati bersubahat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here