AHLI Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz terus mempertahankan Eric See-To yang kini disiasat polis kerana didakwa mempersenda ayat al-Quran.
Nik Abduh berkata, orang ramai wajar berlaku adil kepada See-To terkait kontroversi perkataan lighad yang diungkapkan semasa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pusat berkata dari sudut linguistik, istilah berkenaan sebenarnya merupakan gabungan dua perkataan bahasa Arab iaitu huruf lam dan kalimah ghadin (li ghadin) yang membawa maksud “untuk hari esok” atau masa depan.
Katanya, apabila disambung dan dieja dalam tulisan rumi sebagai satu kata menjadi lighad, ejaan tersebut menimbulkan kekeliruan yang sukar difahami oleh orang awam, khususnya orang bukan Islam.
“Semua orang tahu dia (See-To) nak bergurau, sindiran politik. Tanpa dia sedar, itulah yang perlu kita pegang (simpulkan) – bahawa dia tidak berniat langsung (menghina). So, kita jangan menzalimi dia,” katanya dalam satu slot audio siar yang dikongsi di media sosial semalam, lapor Malaysiakini.

Beberapa hari lalu See-To menjadi kecaman sesetengah pihak kerana dianggap mempersenda ayat al-Quran yang dipetik Anwar – selaku menteri kewangan dan perdana menteri – di Dewan Rakyat.
Bagaimana beliau menafikan mempersenda al-Quran dan menegaskan sesuatu perkataan dari bahasa Arab tidak menjadi istilah khusus agama semata-mata kerana perkataan ia turut digunakan dalam kitab suci tersebut.
Beliau menyalahkan Anwar kerana menggunakan istilah berkenaan dalam pembentangan belanjawan.
“Siapa suruh PMX (Anwar) guna perkataan yang ramai orang awam tak faham dalam ucapan bajet (belanjawan)? Kalau maksudnya ‘untuk masa depan’, sebut sajalah ‘untuk masa depan. Bajet untuk rakyat faham,” katanya.
Mengulas lanjut Nik Abduh, See-To tidak pernah ada rekod mempersenda Islam, bahkan dilihat sentiasa kawan-kawan berlainan agama.
Dalam kes lighad, kata Nik Abduh, See-To sendiri mengakui dia tidak tahu ia adalah istilah yang ada dalam al-Quran.
Nik Abduh yang pernah mendapat undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat itu mengingatkan menghukum seseorang secara semberono dan mengabaikan niat pelaku adalah perbuatan yang tidak adil.
Katanya ketetapan itu juga terpakai ke atas orang Islam.





