BEKAS Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan sabitan dan hukuman itu serta denda RM85,000 atas kesalahan meminta dan menerima rasuah, 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan akhir pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membebaskan Zaidi Dali, 58.
Noorin yang bersidang bersama Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membebaskan Zaidi kerana pihak pendakwaan mengemukakan asas mencukupi untuk membolehkan mahkamah campur tangan.
Beliau berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Zaidi melampaui keraguan munasabah berdasarkan prinsip undang-undang yang betul dan penilaian keseluruhan kes.
Mahkamah turut mengembalikan sabitan yang direkodkan Mahkamah Sesyen serta hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000, selain mengarahkan waran komital dikeluarkan serta-merta.
Noorin menegaskan rasuah boleh merosakkan keyakinan awam dan pihak berkuasa awam yang dituduh menyalahgunakan kedudukan demi kepentingan peribadi perlu mengambil serius tuduhan berkenaan.
Beliau berkata, keadilan perlu ditegakkan tanpa prasangka dengan berpegang pada prinsip undang-undang dan memastikan mahkamah terus menjadi pelindung daripada ketidakadilan serta benteng bagi memelihara keyakinan awam.
Noorin berkata, keseluruhan keterangan menunjukkan pertemuan antara saksi pendakwaan ketiga, Nga Chee Jiek dengan Zaidi serta peristiwa selepasnya menyokong dapatan Mahkamah Sesyen.
Dakwaan permintaan rasuah, katanya, perlu dinilai sebagai sebahagian daripada keseluruhan kejadian dan bukan perbualan yang terasing.
Berhubung penerimaan wang RM7,000, beliau berkata, terdapat rantaian keterangan daripada saksi pendakwaan yang menyokong pertuduhan berkenaan.
Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 8 Ogos 2025 yang membebaskan Zaidi daripada kedua-dua pertuduhan.
Sebelum itu, pada 23 September 2022, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 selepas mendapati Zaidi bersalah meminta suapan RM10,000 setiap bulan daripada Chee Jiek sebagai dorongan memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan di Pusat Bandar Seri Manjung.
Kesalahan itu dilakukan di Meru Valley Golf & Country Club pada jam 9 malam, 5 November 2015, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Zaidi turut didakwa memperoleh suapan RM7,000 daripada Chee Jiek bagi tujuan sama di tempat letak kereta Meru Valley Golf & Country Club pada jam 9.55 malam, 11 November 2015, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Zaidi diwakili peguam Datuk M Athimulan.





