SEORANG janda dilarikan dan dicederakan oleh bekas kekasihnya di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Selasa lalu selepas dia enggan kembali kepada lelaki berkenaan yang sudahpun berkahwin
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, wanita berusia 35 tahun tersebut diserang suspek yang menaiki Proton Saga.
‘’Suspek mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa dan menariknya secara paksa masuk ke dalam sebuah kereta berhampiran Masjid Ubaidah kampung berkenaan,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek yang merupakan pesara telah bertindak memukul mangsa bertubi-tubi di kepala dan dada sebelum memindahkannya ke sebuah lagi kereta miliknya jenis Proton Wira di kawasan lain.
‘’Sepanjang perjalanan, suspek turut mengugut mangsa dengan sebilah pedang samurai sambil memberi amaran supaya wanita itu tidak melawan. Mangsa bagaimanapun sempat menghantar mesej serta lokasi langsung (live location) kepada bekas suaminya ketika suspek berhenti membeli minuman di sebuah kedai runcit di Taman Sutera Indah, Kelamak.
“Tindakan pantas mangsa membolehkan dua adik lelaki wanita itu mengesan lokasi dan menjejaki suspek di pekarangan sebuah rumah kampung di Alor Gajah sebelum berlaku pergelutan,” katanya .
Dalam pergelutan tersebut, katanya mangsa telah bertindak membaling pasu bunga dan terkena bahagian muka suspek.
‘’Siasatan awal mendapati motif kejadian disyaki kerana mangsa enggan kembali kepada bekas kekasihnya yang telah memujuk beberapa kali selepas mengetahui suspek sudah beristeri dan mempunyai anak.
“Mangsa yang mengalami luka tikaman menerima empat jahitan kini dirawat di Hospital Melaka. Suspek kemudian ditahan di Kampung Ayer Hitam dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai rekod lampau membabitkan dua kes jenayah dan lapan kes narkotik,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menculik dan mendatangkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya.
UNDILAH |