KERAJAAN MADANI terus memberi penekanan terhadap kesejahteraan golongan berpendapatan sederhana (M40) menerusi Belanjawan 2027, dengan memastikan kumpulan itu turut mendapat manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan dan insentif yang disediakan kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyediaan belanjawan berkenaan mengambil kira pandangan serta keperluan masyarakat, termasuk golongan M40, melalui sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum pembentangan dibuat.
Menurut beliau, usaha mendapatkan maklum balas itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya jawatankuasa belanjawan mengumpulkan pandangan, cadangan dan memorandum daripada pelbagai kelompok masyarakat.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan perancangan ekonomi negara mengambil kira realiti kehidupan rakyat, khususnya kumpulan yang sebelum ini mempersoalkan sejauh mana mereka mendapat manfaat daripada belanjawan tahunan.
“Golongan M40 sebelum ini sering membangkitkan persoalan di media sosial mengenai manfaat yang dapat mereka peroleh daripada belanjawan negara. Kali ini, kerajaan mengambil pendekatan lebih terbuka dengan mendengar pandangan pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, perbincangan mengenai cadangan pengecualian duti hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan di Wilayah Persekutuan akan diteruskan bersama Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) serta pihak berkaitan.
Beliau berkata, sesi libat urus berkenaan perlu diteruskan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu memberi manfaat bukan sahaja kepada penerbit filem tempatan, malah kepada penonton, terutama di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menurutnya, kerajaan mengambil maklum terdapat perbezaan pandangan daripada pihak MAFE berhubung perkara itu. Bagaimanapun, perbincangan lanjut perlu memberi tumpuan kepada usaha memastikan penonton turut menikmati manfaat yang disasarkan.
“Saya meminta supaya libat urus bersama MAFE diteruskan agar manfaat ini dapat dirasai oleh penerbit filem tempatan dan juga penonton, khususnya mereka yang menonton filem tempatan,” katanya.





