SEORANG lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, bulan lalu.
Tertuduh, Abdul Shukor, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Vinoshen.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohammed Tuasin, 18, di sebuah bangsal kayu di hadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, pada 18 September lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 4.20 petang hingga 9.38 malam pada tarikh berkenaan, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan status laporan pakar bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut dengan kesan kelar dan tetak di leher berhampiran bangsal sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Taman Desa Kujid.





