Lelaki Rohingya dakwa terima ‘arahan Tuhan’ bunuh rakan

SEORANG lelaki etnik Rohingya dipercayai menerima arahan Tuhan sejak sebulan lalu sebelum menetak rakannya hingga maut di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, Kota Bharu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Pasir Mas, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mendakwa mendapat arahan Tuhan untuk membunuh mangsa yang juga rakan sekerjanya.

“Suspek mengatakan dia mendapat arahan Tuhan untuk membunuh mangsa. Setakat ini, kita nampak dia seperti berhalusinasi, namun segala masalah yang dihadapi suspek akan disahkan oleh pakar atau doktor.

“Siasatan awal mendapati, suspek menetak mangsa ketika berada di rumah kongsi berkenaan. Tiada sebarang pergelutan atau pergaduhan berlaku antara suspek dan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini, lapor Harian Metro.

Mohd. Yusoff berkata, suspek kemudian melarikan diri ke Pasir Mas selepas kejadian itu.

Katanya, suspek dipercayai sudah menerima arahan berkenaan kira-kira sebulan lalu sebelum bertindak membunuh mangsa pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kecederaan luka hiris dan tetakan pada bahagian leher.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek negatif dadah. Selain itu, kita turut meragui kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik suspek yang dipercayai palsu.

“Ini kerana, kad UNHCR miliknya mempunyai tarikh lahir sama cuma berbeza tahun dengan dua rakannya yang ditahan untuk membantu siasatan pada Sabtu lalu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja etnik Rohingya maut selepas dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, di sini, Jumaat lalu.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki bersama tiga warga asing termasuk seorang wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun yang bermula Sabtu lalu itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here