PELAKSANAAN Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda reformasi, khususnya bagi memperkukuh kebebasan institusi Parlimen serta mematangkan sistem politik dan demokrasi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan akta itu memperlihatkan kesungguhan politik kerajaan untuk melaksanakan perubahan institusi, termasuk kesediaan menyerahkan sebahagian kuasa pentadbiran yang sebelum ini lazimnya ditentukan oleh pihak kerajaan dan Ketua Majlis.
Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi memastikan prinsip demokrasi berparlimen terus diperkasakan, di samping meningkatkan keupayaan institusi Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
“Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 ini penting kerana ia membawa makna besar kepada demokrasi berparlimen dan mencerminkan kematangan sistem demokrasi negara.
“Kita bukan sahaja mahu meningkatkan keupayaan kakitangan serta profesionalisme perkhidmatan Parlimen, malah berharap mutu perbahasan dan adab ketika berbahas turut dipertingkatkan selaras dengan bidang kuasa baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen sempena pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Bankuet Parlimen, Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Dalam perkembangan berkaitan, empat Ahli Dewan Rakyat, masing-masing dua daripada blok kerajaan dan dua daripada pembangkang, dilantik sebagai anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi meneliti serta memperkukuh aspek pengurusan dan perkhidmatan institusi itu.
Pelantikan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kerangka baharu pentadbiran Parlimen menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Penguatkuasaan akta itu turut menandakan pemulihan perkhidmatan khusus Parlimen selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992, sekali gus membuka ruang kepada pengurusan institusi berkenaan yang lebih tersendiri.





