PELAKSANAAN Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 menandakan langkah penting dalam agenda reformasi institusi di bawah Kerajaan MADANI, khususnya bagi memperkukuh kebebasan Parlimen serta meningkatkan kematangan amalan demokrasi di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguatkuasaan akta berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk mengembalikan autonomi dan bidang kuasa pentadbiran Parlimen selepas perkhidmatan khusus institusi itu dimansuhkan pada 1992.
Menurut beliau, pelaksanaan reformasi tersebut bukan sekadar perubahan dari sudut pentadbiran, malah membawa makna lebih besar terhadap usaha memperkukuh kebebasan institusi legislatif dan memantapkan sistem demokrasi berparlimen negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen sempena pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Bankuet Parlimen, Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Simpang Renggam, Beluran dan Kota Bharu yang dilantik sebagai anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen menerusi usul yang telah diluluskan.
Katanya, pelaksanaan perubahan itu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kesediaan kerajaan untuk memberikan ruang autonomi yang lebih besar kepada Parlimen, termasuk dalam aspek yang sebelum ini berada di bawah pengaruh pentadbiran kerajaan.
Beliau turut mengakui bahawa reformasi berkenaan memerlukan ketegasan dan keberanian politik, memandangkan pelaksanaannya melibatkan perubahan terhadap amalan serta struktur kuasa sedia ada.
Anwar berkata, komitmen yang ditunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam menjayakan agenda berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan melaksanakan perubahan institusi secara bermakna.
Menurutnya, kesediaan untuk menyerahkan sebahagian kuasa pentadbiran yang lazimnya ditentukan kerajaan dan Ketua Majlis membuktikan bahawa reformasi itu bertujuan memperkukuh kebebasan institusi Parlimen.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan akta berkenaan merupakan perkembangan penting dalam mematangkan sistem politik negara, selain mewujudkan asas yang lebih kukuh bagi memastikan Parlimen dapat menjalankan peranannya secara bebas dan berkesan.
Sehubungan itu, Anwar berharap semua pihak dapat memberikan sokongan terhadap usaha berkenaan bagi memastikan reformasi institusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memperkukuh demokrasi berparlimen di Malaysia.





