Permohonan tangguh hukuman kes 1MDB Najib ditolak

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Keputusan itu dibuat Hakim Noor Ruwena Md Nurdin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas meneliti hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung permohonan berkenaan.

Najib, 73, memohon supaya pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga rayuannya terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Noor Ruwena ketika membacakan keputusan berkata, permohonan itu tidak memenuhi syarat keadaan khas dan luar biasa yang diperlukan bagi membolehkan penangguhan diberikan.

Beliau turut mengambil kira sabitan Najib dalam kes SRC International yang telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, sekali gus menyebabkan bekas Perdana Menteri itu tidak lagi boleh dianggap sebagai pesalah kali pertama, lapor BH.

Pada 26 Disember lalu, Najib didapati bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi pertuduhan menggunakan kedudukan. Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau turut dikenakan penalti yang menjadikan jumlah keseluruhan denda yang dipertikaikan dalam permohonan itu kira-kira RM13.47 bilion.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara bagi kes 1MDB bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.

Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu difahamkan turut mempunyai kaitan dengan isu perintah tahanan rumah yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pada 18 September lalu, baginda memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here