DUA pelajar lelaki Tingkatan Lima yang mengaku bersalah menghina seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi komen di media sosial diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Majistret Mustaqim Sukarno memerintahkan kedua-dua pelajar berusia 17 tahun itu menyempurnakan khidmat masyarakat berkenaan dalam tempoh enam bulan.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 selama setahun, selain menetapkan sekatan keluar rumah dari jam 10 malam hingga 6 pagi dan mengarahkan mereka melapor diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap dua bulan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan perkataan menghina menerusi komen jelik terhadap mangsa, yang juga rakan mereka berusia 17 tahun, di aplikasi TikTok.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Parit Lapis Sri Ladang, Rengit, di sini, pada jam 8.30 malam, 25 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa melihat komen jelik yang dimuat naik kedua-dua tertuduh pada video di akaun TikTok miliknya.
Siasatan mendapati kedua-dua pelajar mengakui menghantar komen itu dengan tujuan membuli mangsa secara dalam talian dan sengaja mencelanya sehingga menyebabkan gangguan emosi.
Perbuatan itu dilakukan selepas mereka mengetahui mangsa mempunyai kecacatan pada ibu jari tangan kirinya.
Siasatan turut mendapati perbuatan berkenaan adalah kesinambungan daripada tindakan mereka yang sering mengejek mangsa di sekolah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Harian Metro.





