Pas jadi Ketua Kampung Baru Cina: Ahli Parlimen DAP ucap ‘tahniah’ kepada MCA

CHONG Zhemin (PH-Kampar) hari ini secara sinis mengucapkan “tahniah” kepada MCA kerana didakwanya kehilangan satu jawatan ketua Kampung Baru Cina di Negeri Sembilan kepada Pas.

“Tahniah kepada MCA kerana lepaskan satu (jawatan) ketua kampung di Negeri Sembilan kepada Pas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Malaysiakini.

Ahli Parlimen DAP itu turut menyindir Pas dengan berkata parti itu kini mengetuai sebuah Kampung Baru Cina walaupun pemimpinnya sebelum ini pernah mengaitkan sejarah penempatan tersebut dengan komunisme.

“Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada PAS kerana ini kali pertama dalam sejarah… sekarang Pas menerajui Kampung Baru Cina,” katanya.

Kontroversi itu dilaporkan tercetus awal bulan ini selepas seorang calon yang disyorkan Pas dilantik sebagai ketua Kampung Baru Mahsan di Jempol, Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan bantahan DAP dan sebahagian penduduk.

MCA Negeri Sembilan kemudian berkata ia berunding dengan PAS dan mencapai persetujuan supaya jawatan ketua Kampung Baru Mahsan dikembalikan kepada calon MCA.

Susulan itu, Pas dilaporkan menamakan Mohamad Rafi Manimaran sebagai ketua Kampung Seri Mahsan, satu lagi Kampung Baru Cina dibawah DUN Serting yang diwakili ADUN Pas.

“Dulu mereka (Pas) di Parlimen ini mendakwa bahawa Kampung Baru Cina ini ada kait dengan komunis. Jadi Pas sekarang ini ketua kampung bagi satu kampung yang ada kaitan dengan komunis,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada Pas supaya tidak lagi melabel masyarakat Kampung Baru Cina berdasarkan sejarah penubuhan penempatan tersebut.

“Saya harap pengalaman ini ajar Pas bahawa kita mesti berhenti melabel masyarakat Kampung Baru.

‘’Kampung Baru adalah masyarakat rakyat Malaysia yang bekerja, membayar cukai dan membesarkan keluarga. Mereka berhak dihormati dan mendapat pembangunan yang adil,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here