PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) Nik Nazmi Nik Ahmad, atas pemergian bapanya Allahyarham Nik Ahmad Nik Hassan, yang meninggal dunia hari ini pada usia 96 tahun.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau menerima khabar duka itu dan mendoakan agar Nik Nazmi serta seluruh keluarganya, diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan berkenaan.
“Salam takziah kepada mantan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang dikhabarkan baru kehilangan ayahanda tercinta, Allahyarham Nik Ahmad Nik Hassan.
“Mendoakan saudara Nik dan keluarganya dikurniakan ketabahan yang tinggi saat ini, selain saya mendoakan agar roh bapanya diberi keampunan dan diberi tempat yang sangat istimewa di sisi-Nya,” kata Anwar dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Jurucakap Bersama Ibrahim Sani memaklumkan pemergian Allahyarham dan turut merakamkan ucapan takziah kepada Nik Nazmi serta seluruh keluarga, atas kehilangan berkenaan.
Presiden Parti Bersama merangkap bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli turut merakamkan ucapan takziah, selain mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.





