KERAJAAN Malaysia digesa bertindak lebih tegas dalam berurusan dengan Indonesia berhubung isu jerebu yang kini semakin buruk, kata Khairy Jamaluddin.
Walaupun mengakui Malaysia perlu berdiplomasi namun bekas Menteri Kesihatan itu menyifatkan Malaysia bersikap ‘terlalu lembut’.
“Tapi, saya fikir apabila orang lain cekik anda, anda tidak boleh biarkan mereka terus mencekik. Sekurang-kurangnya tepis tangan mereka atau balas balik. Perkara itu tidak berlaku. Saya faham diplomasi, tapi saya sangat kecewa dengan kerajaan kerana tidak sanggup pertahankan kita,” katanya dalam podcast Keluar Sekejab terbaru.
Khairy turut mengulangi kritikannya terhadap ‘ketidakcekapan’ kerajaan Indonesia menangani krisis alam sekitar itu, yang sudah berlarutan dua bulan.
Katanya, Malaysia tidak mampu untuk ‘bercita-cita tinggi’ untuk mengenakan pengaruhnya terhadap negara lain, negara perlu menggubal undang-undang jerebu merentas sempadan bagi bertindak ke atas syarikat ladang Malaysia yang didapati bertanggungjawab membakar hutan dan menyebabkan jerebu.
“Lagipun, kita tidak ada sebarang mekanisme dalam ASEAN yang boleh menghukum Indonesia,” katanya.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Arthur Joseph Kurup, berkata penggubal dasar perlu mempertimbangkan keberkesanan, implikasi diplomatik, dan beban pembuktian bagi mana-mana undang-undang jerebu merentas sempadan yang dicadangkan, serta sama ada ia boleh dikuat kuasa.





