PEMANDU kereta BYD Seal yang tular merempuh sebuah Perodua Bezza di Jalan Kuching, Sabtu lalu sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi berdepan tiga pertuduhan.
Lelaki berusia 24 tahun itu tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi dalam keadaan bergari dan dikawal ketat beberapa anggota polis trafik, lapor BH.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan di sebuah hospital swasta di Damansara pada Rabu selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Dalam kejadian jam 3.44 petang Sabtu lalu, kereta yang dipandu lelaki berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Kemalangan itu turut membabit sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza terbabit berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain termasuk Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Akibat kejadian itu, Asiah Ahmad Syahir, 5, yang menaiki Perodua Bezza parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemandu Perodua Bezza berusia 30 tahun pula mengalami luka di tangan kanan manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala.





