Peruntukan lebih RM130 juta perkasa industri kreatif, pacu ekonomi jingga negara

PERUNTUKAN melebihi RM130 juta bagi memperkukuh industri perfileman, muzik dan sektor kreatif tempatan menerusi Belanjawan 2027 dijangka membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri untuk mengembangkan potensi serta menembusi pasaran antarabangsa.

Pengerusi Kumpulan MyCreative Ventures, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadikan industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, selain memperkasa pembangunan bakat dan memartabatkan identiti negara.

DATUK Muhammad Bakhtiar Wan Chik

Menurutnya, pengumuman oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu memberi isyarat positif terhadap usaha membangunkan sektor kreatif yang lebih berdaya saing dan mempunyai nilai ekonomi tinggi.

“Peruntukan ini membuka ruang lebih luas kepada penggiat industri untuk mengembangkan bakat, menghasilkan karya berkualiti serta membina perniagaan kreatif yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan tema Belanjawan 2027, Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, industri kreatif tempatan mempunyai potensi besar untuk berkembang melangkaui pasaran domestik, sekali gus memperluas pengaruh karya Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Katanya, perubahan landskap industri yang dipacu teknologi dan kandungan digital menuntut penggiat kreatif melihat penghasilan karya sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menjana nilai ekonomi.

“Kreativiti tidak seharusnya terhenti pada penghasilan karya semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih besar melalui pengkomersialan, pembangunan harta intelek dan peluasan pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan turut dijangka membantu merancakkan ekosistem industri kreatif.

Inisiatif itu berpotensi merangsang permintaan terhadap karya tempatan, meluaskan akses masyarakat kepada kandungan berkualiti serta meningkatkan peluang pendapatan penggiat industri.

“Pasaran domestik yang kukuh penting sebagai asas untuk membolehkan karya dan bakat Malaysia berkembang ke peringkat lebih luas, di samping mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dalam sektor kreatif,” katanya.

MyCreative Ventures akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kapasiti pemain industri, pembangunan dan pengkomersialan harta intelek serta peluasan akses kepada pasaran bagi memastikan ekonomi kreatif negara terus berkembang secara mampan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here