Larangan berhijab ke sekolah: Pemerintah Azerbaijan picu kemarahan umat Islam, ‘gembirakan’ Israel

SEMALAM bantahan terhadap tindakan pemerintah Azerbaijan melarang pemakaian hijab di institusi pendidikan negara itu merebak ke Iran, selepas sebelum di Turki.

Sekumpulan mahasiswa Universiti Teheran mengadakan bantahan dengan membentangkan sepanduk di luar Kedutaan Besar Azerbaijan di Teheran bagi membantah sekatan terhadap pelajar perempuan yang memakai hijab.

Bantahan juga berlaku di negara-negara Islam lain terhadap pemerintah Azerbaijan – sebuah negara yang mempunyai 96 peratus penduduk beragama Islam tetapi Perlembagaannya menetapkan negara itu sebagai negara sekular.

Ketika kemarahan warga Azerbaijan sedang memuncak dan ketika bantahan semakin merebak, Presiden Israel, Isaac Herzog – negara pembunuh rakyat Palestin yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) menjejak kaki di Baku – ibu negara Azerbaijan semalam bagi menghadiri  Sidang Kemuncak Ketujuh Persidangan Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA).

Herzog mengucapkan terima kasih kepada Aliyev atas sambutan mesra yang diberikan serta memuji peranan Azerbaijan sebagai hab kestabilan dan kerjasama antarabangsa di rantau itu..

Aliyev pula berjanji untuk memperkukuh hubungan kerjasama Azerbaijan-Israel serta memperluas kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang.

Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev (kanan) bersama Presiden Israel, Isaac Herzog dalam pertemuan di Baku, semalam.

“Israel dan Azerbaijan berkongsi hubungan unik yang telah dibina sejak sekian lama dan terbukti penting, termasuk ketika berdepan situasi yang kompleks. Persahabatan antara kedua-dua negara amat bernilai dan kami komited untuk terus memupuk hubungan ini,” kata Herzog.

Israel dan Azerbaijan merupakan rakan strategik yang mempunyai hubungan rapat sejak Azerbaijan memperjuangkan kemerdekaannya.

Ketika perang kemerdekaan Azerbaijan, Israel membekalkan senjata yang diperlukan negara itu bagi mempertahankan wilayahnya.

Sebagai balasan dalam hubungan ekonomi dua hala, Azerbaijan pula membekalkan sebahagian besar keperluan minyak Israel, sekali gus menjadikan sektor tenaga antara kepentingan utama dalam hubungan kedua-dua negara.

Berdasarkan hubungan mesra itu secara tidak langsung sudah pastilah apa yang dilakukan oleh Azerbaijan secara tidak langsung menggembirakan rejim Zionis Israel yang setiap hari membunuh umat Islam di Palestin dan Lubnan.

Pemerintah Azerbaijan menggunakan alasan sekularisme, keseragaman pakaian dan disiplin institusi, tetapi cara peraturan tersebut dilaksanakan menimbulkan persoalan tentang keseimbangan antara dasar sekular dengan kebebasan beragama.

Menonton video-video di media sosial khususnya Tik Tok memaparkan bagaimana pelajar berhijab dilarang memasuki kelas sememang mengundang rasa sebak.

Seorang pengguna berkongsi video yang menunjukkan sekumpulan pelajar perempuan berhijab menunggu di luar sekolah kerana tidak dibenarkan masuk.

Pengguna itu menyifatkan keadaan tersebut sebagai diskriminasi dan mempersoalkan sama ada sekularisme bermaksud melarang amalan agama sehingga menjejaskan hak pendidikan kanak-kanak perempuan.

Pengguna lain pula mengetengahkan solidariti antara pelajar perempuan yang berhijab dengan mereka yang tidak berhijab di Azerbaijan.

Satu video yang dikongsikan memaparkan pelajar perempuan tanpa hijab memberikan sokongan kepada rakan sekelas mereka yang berhijab, sebagai tanda penentangan terhadap tindakan yang didakwa menghalang pelajar mendapatkan pendidikan berdasarkan cara berpakaian.

Perhatian turut tertumpu kepada kenyataan anak perempuan seorang veteran perang Nagorno-Karabakh yang menyuarakan hasrat untuk berkhidmat kepada negaranya tanpa perlu mengorbankan pegangan agama.

Wanita itu berkata beliau mahu menyumbang kepada negara, namun keberatan meninggalkan keyakinannya semata-mata untuk terus bekerja sebagai guru.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pemakaian penutup kepala boleh mengurangkan rasa cinta seseorang terhadap tanah airnya.

Isu berkenaan sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai batas antara dasar sekular, kebebasan beragama dan hak mendapat pendidikan, khususnya apabila peraturan berpakaian didakwa menjejaskan peluang pelajar perempuan untuk meneruskan persekolahan.

Persoalan adakah Pemerintah Azerbaijan akan menarik balik sekatan di negara bergelar ‘Tanah Api Abadi’ itu disebabkan kekayaan minyak dan gasnya atau akan membiarkan ‘api kemarahan’ umat Islam memuncak seluruh dunia baru mahu bertindak.

Apa yang berlaku di Azerbaijan membuktikan kadang kala pemerintah bukan Islam jauh lebih baik menjaga orang Islam berbanding pemimpin Islam sendiri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here