SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kerajaan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity, sebagai usaha memperkukuh kesalinghubungan digital dan mempercepat transformasi perkhidmatan bandar di Greater Kuching.
Kerjasama menerusi Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) itu memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi digital, data dan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bandar.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, majlis pertukaran dokumen MoU disempurnakan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh, serta disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.
“Projek berkenaan memberi tumpuan awal kepada kawasan Greater Kuching yang merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
“Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030, khususnya dalam memperluas penggunaan teknologi bagi menyokong pembangunan bandar yang lebih cekap, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut MCMC, antara skop kerjasama yang dikenal pasti adalah pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan AI dan data, platform bandar bersepadu serta pengukuhan infrastruktur rangkaian teras bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan responsif.
Katanya, projek itu turut merangkumi pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan kemudahan Wi-Fi awam, penggunaan teknologi kembar digital (digital twin) serta pembangunan Pusat Operasi Rangkaian (Network Operations Centre atau NOC).
Pelaksanaannya juga, menurut MCMC, akan mengambil kira aspek keterangkuman, keselamatan siber, perlindungan data dan tadbir urus yang bertanggungjawab bagi memastikan penggunaan teknologi digital memenuhi keperluan masyarakat.
Menurut suruhanjaya itu, kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan akan terus diperkukuh bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif digital yang menyokong pembangunan bandar pintar.
“Secara keseluruhannya, projek ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Greater Kuching melalui penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif,” kata MCMC.
Pelaksanaan projek itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengurusan trafik dan kemudahan awam, mempercepat tindak balas terhadap insiden serta kecemasan, selain menyediakan pengalaman digital yang lebih baik kepada penduduk dan komuniti perniagaan.




