Lima pegawai kanan SPRM diiktiraf badan pengurusan profesional UK

LIMA pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pengiktirafan Fellowship Chartered Management Institute (FCMI) dari United Kingdom (UK), susulan pencapaian akademik dan kepimpinan dalam bidang pengurusan profesional.

Pengiktirafan itu diperoleh menerusi kerjasama strategik antara Chartered Management Institute (CMI) dan Asia e University (AeU), sekali gus mencerminkan usaha memperkukuh kompetensi kepimpinan dalam kalangan pegawai kanan SPRM.

Lima pegawai berkenaan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Datuk Mohd Shahril Che Saad; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, KPKPj Samsul Salip dan KPKPj Mohd Fazli Husin daripada Bahagian Perisikan SPRM.

Sijil dan watikah pengiktirafan itu disampaikan Pegawai Integriti AeU, Profesor Madya Dr Azmi Mohd pada majlis yang diadakan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Kanan (Strategic Alliances) AeU, Hazrani Hanafiah dan Pengurus APEL Centre AeU, Syed Badrul Hisyam Syed Adanan.

Daripada lima penerima, Azmi dan Saiful Ezral menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan (Master in Management), manakala Mohd Shahril dan Samsul menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Mohd Fazli pula sedang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.

Sementara itu, Dr Azmi berkata, FCMI merupakan pengiktirafan kepimpinan tertinggi yang dianugerahkan CMI, sebuah badan profesional pengurusan yang ditubuhkan di UK pada 1947.

“Gelaran Fellow ini bukan sahaja pengiktirafan tertinggi dalam bidang pengurusan dan kepimpinan, malah diiktiraf di lebih 170 buah negara di seluruh dunia,” katanya.

Penerima pengiktirafan itu turut diiktiraf sebagai pakar rujuk dalam bidang pengurusan profesional serta berhak menggunakan gelaran FCMI selepas nama masing-masing.

Pengiktirafan berkenaan menjadi nilai tambah kepada kompetensi kepimpinan mereka, meliputi sektor perkhidmatan awam dan korporat di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen AeU Ke-15 yang bakal meraikan graduan berkenaan dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here