Malaysia antara terbaik di pentas dunia dalam basmi kemiskinan

HARI Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa disambut kelmarin dengan temanya “Bersatu Demi Keamanan dan Hak Asasi Manusia”.

Dari segi sejarahnya, sambutan itu  bermula 17 Oktober 1987 apabila lebih 100,000 orang berkumpul di Trocadero, Paris iaitu tempat Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia ditandatangani pada tahun 1948, bagi menghormati mangsa kemiskinan tegar, keganasan dan kebuluran.

Melalui resolusi 47/196 yang diterima pakai pada 22 Disember 1992, Perhimpunan Agung PBB mengisytiharkan 17 Oktober sebagai Hari Antarabangsa bagi Pembasmian Kemiskinan.

Saya akan mengingati tarikh ini setiap tahun kerana usaha membasmi kemiskinan sangat dekat di hati saya, bukan sahaja berpengalaman sendiri keluar daripada kemiskinan keluarga  tetapi juga  terlibat secara langsung dalam gerak kerja membasmi kemiskinan  melalui pelantikan oleh  kerajaan sejak tahun 2010.

Pada tahun ini, fokus UNESCO dalam pembasmian kemiskinan ialah menekankan peranan pendidikan, sains dan budaya serta mengurangkan ketidaksamaan. Hal ini dirangkumkan dalam akses kepada pendidikan berkualiti, pengetahuan saintifik dan peluang dalam ekonomi kreatif serta budaya yang dapat membantu membangunkan kemahiran, meluaskan peluang pekerjaan dan memperkasakan komuniti.

Data terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui pelbagai agensinya seperti UNDP dan UNESCO menunjukkan bahawa terdapat 1.2 billion  penduduk dunia yang dikategorikan Kemiskinan Multidimensi (Kesusahan Hidup Melampau). Ia bukan hanya diukur dengan wang ringgit semata-mata tetapi juga kekurangan akses kepada kesihatan, pendidikan, air bersih dan bekalan elektrik.

Kemiskinan Tegar (Monetory Property) dianggarkan sekitar 824 juta hingga 826 juta orang yang hidup di bawah Garis kemiskinan antarabangsa yang tegar (hidup dengan pendapatan kurang AS$3  sehari)

Berdasarkan laporan UNESCO dan PBB, punca utama kemiskinan global adalah saling berkait rapat antara satu sama lain melibatkan keciciran pendidikan dan kemahiran, krisis ekonomi global dan hutang luar negara, ketidaksamaan akses dan peluang (social exclusion), tiada perlindungan sosial serta konflik serantau dan perubahan iklim.

Lawatan institusi pendidikan TVET Australia untuk melihat bagaimana penulis melatih pelajar miskin dalam pertanian sebagai usaha membasmi kemiskinan.

Setakat ini, India paling ramai mempunyai bilangan penduduk dan golongan miskin tegar iaitu sekitar 234 juta orang daripada keseluruhan penduduknya yang berjumlah 1.4 bilion orang. Ini diikuti dengan Pakistan, Ethiopia, Nigeria dan Republik Demoratik Congo. Kelima-lima negara ini menyumbang hampir separuh daripada 1.2 billion penduduk miskin dunia.

Bagaimana pula Malaysia dalam indeks membasmi kemiskinan peringkat global? Malaysia berada di kedudukan yang sangat baik dan tergolong dalam kalangan negara yang kadar kemiskinannya terendah dalam indeks antarabangsa, terutama di rantau Asia Tenggara.

Laporan Macro Poverty Outlook oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa kadar kemiskinan Malaysia diunjurkan pada paras hanya 1% sahaja yang menggunakan penanda aras pendapatan antarabangsa bagi pendapatan menengah atas (AS$8.30 seorang sehari) yang turut diselaraskan dengan keserataan kuasa beli.

Di peringkat ASEAN, skor Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi Global dan Domestik menunjukkan bahawa prestasi cemerlang dengan paras penurunan ke paras 0.014. Manakala dalam perbandingan serantau pula  Vietnam (0.0077), Indonesia (0.0140(, dan Filipina (0.0018). Hanya Thailand mencatat skor sedikit lebih rendah (0.0018).

Kemiskinan domestik hampir sifar (dinoktahkan). Ia telah berjaya diturunkan secara drastik kepada 0.09%. Kerajaan menyasarkan baki 7,000 isi rumah dibebaskan sepenuhnya pada awal 2026 yang menjadikan Malaysia lebih praktikal dalam menangani miskin tegar. Bagaimanapun, laporan antarabangsa dan domestik tetap menekankan bahawa cabaran utama Malaysia adalah beralih daripada miskin tegar kepada jurang pendapatan relatif serta kos sara hidup di kawasan bandar yang memerlukan pemantauan berterusan.

Sebagai anak orang miskin suatu masa dulu dan rakan strategik kerajaan dalam program basmi kemiskinan, bermula dengan saya sendiri melalui proses usaha kerajaan itu sejak tahun 1970 iaitu zaman saya kanak-kanak hinggalah menjadi rakan strategi kerajaan berkaitan basmi kemiskinan.

Kita wajib mengakui kejayaan Malaysia daripada tahun 1970 hingga kini terhadap kejayaan kita menurunkan penduduk yang berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.1 % pada tahun 2024 melalui pelbagai dasar pembasmian kemiskinan yang dijalankan.

Sepertimana saya juga memberi penegasan dalam soal pembasmian kemiskinan ini, kunci utama yang menjadi faktor kejayaan  ialah pendidikan, kemahiran dan kreativiti ekonomi. Pengalaman panjang saya dalam usaha membasmi kemiskinan mendapati, kejayaannya  bukanlah terletak kepada pendidikan,kemahiran dan bantuan yang disediakan semata-mata.

Sebaliknya  apa yang penting ialah penerapan nilai terutama jatidiri untuk membolehkan golongan miskin itu berusaha membebaskan diri daripada kemiskinan melalui konsep latihan, bimbingan dan pemantauan (LBP) secara konsisten dan istiqomah.

Banyak model  telah saya jayakan di seluruh negara yang saya lihat bukan sahaja sebagai penanda aras kejayaannya tetapi apa yang penting ialah perancangan dan pelaksanaan berkesan. Ia kerana insiden kemiskinan adalah bersifat dinamik serta berubah mengikut cabaran zaman dan perlu ditangani kerajaan dan masyarakat.

Saya pernah berkongsi pengalaman ini dengan negara China (2010), Vietnam (2014), Australia (2016), dan Thailand (2025) dengan kerjasama pengisiannya.

Insha-Allah tidak lama lagi, saya akan berkongsi dengan alumni dan junior saya di universiti tempat saya belajar dulu iaitu University Of Wales Trinity Saint David (UWTSD), UK  dalam kuliah khas ‘Membangunkan Sosio-Ekonomi dan Membasmi Kemiskinan di Luar Bandar Malaysia’.

Pengalaman yang sangat berharga untuk berkongsi kepuasan menyumbang kepada usaha membasmi kemiskinan di Malaysia yang tiada nilai taranya dengan wang ringgit.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here