SEMALAM, sebelum Datuk Seri Takiyudddin Hassan mengakhiri ucapannya di Dewan Rakyat yang mendedahkan mengenai latihan ala komando yang didakwa dilakukan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila Marang, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan;;
‘’Saya mempunyai bukti termasuk video dan saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan.’’
Semalam juga, Maritim Malaysia membuat kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Takiyuddin dan menganggap ia sebagai fitnah.
TETAPI hari ini, Takiyuddin yang juga merupakan seorang peguam membangkitkan isu yang sama dengan menyertakan bukti bagi mengukuhkan dakwaan beliau.
Pada sidang akhbar di Parlimen, Setiausaha Agung Pas itu mendakwa berlaku aktiviti mencurigakan berbentuk “ala-komando” di Masjid Rusila bulan lalu.
Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan perwatakan, perlakuan, dan pergerakan amat mencurigakan sehingga menimbulkan keresahan awam.
“Ini termasuk pelbagai andaian terhadap aspek keselamatan YB Ahli Parlimen Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang), keluarga, dan masyarakat setempat. Justeru, penjelasan YB Menteri Dalam Negeri adalah dituntut,” katanya yang memperbetulkan tarikh kejadian ialah pada 19 September bukannya 29 September sepertimana beliau nyatakan semalam.
Takiyuddin berkata, dalam kejadian pada 19 September tersebut di Masjid Rusila yang juga bersebelahan dengan kediaman Abdul Hadi berlaku apa yang disifatkan beliau sebagai mencurigakan melibatkan perwatakan, perlakuan, dan pergerakan.
“Kelihatan tiga individu lelaki berpakaian biasa memasuki ruang solat wanita berhampiran tandas wanita, dalam keadaan tergesa-gesa dan mencurigakan;
“Kelihatan sebuah kereta berwarna perak yang dinaiki dua individu lelaki diletakkan di tepi pagar kediaman ahli Parlimen Marang, bersebelahan ruang hadapan Masjid Rusila. Kelihatan beberapa kenderaan dan lebih sepuluh individu lelaki berpakaian biasa sedang mengawasi keadaan di perkarangan luar masjid,” katanya.
Beliau juga berkata, rakaman CCTV menunjukkan tiga individu lelaki berlari keluar daripada masjid dalam keadaan tergesa-gesa.
Mereka seterusnya menaiki sebuah kereta berwarna biru yang sampai pada masa itu untuk meninggalkan perkarangan masjid.
“Segala aktiviti berbentuk ‘penyamaran, penyusupan, dan pelolosan’ yang amat mencurigakan ini, dijalankan tanpa pemakluman atau permohonan kepada pihak pengurusan Masjid Rusila, sebelum hari kejadian,” katanya.
Tambahnya, laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan masjid pada 29 September dan rakaman CCTV telah diserahkan kepada polis.
Takiyuddin turut menolak dakwaan bahawa aktiviti itu hanyalah sebahagian daripada simulasi latihan Maritim Malaysia .
“Gambar sekumpulan lelaki berjubah putih yang dikongsikan kepada media — kononnya pelatih sedang membaca al-Quran — sama sekali tidak bersamaan dengan rakaman CCTV di masjid pada tarikh dan masa yang dinyatakan,” katanya.
Takiyuddin berkata, penduduk setempat juga mengesahkan bahawa tiada sebarang latihan air dijalankan di laut atau pesisir pantai Kampung Rusila pada tarikh berkenaan.
“Berbalik kepada latihan Sere (survival, evasion, resistance and escape) yang biasanya dilakukan di belakang garisan musuh, timbul persoalan — apakah motif latihan ini, siapa musuh yang dimaksudkan, siapa tebusan atau sasaran yang hendak diloloskan, dan mengapa Masjid Rusila dijadikan lokasi latihan?” soalnya lagi.
Sehubungan itu Takiyuddin berkata, mereka mahu penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Maritim Malaysia.
‘’Pihak APMM tidak perlu emosi, kita tidak menyerang peribadi…tidak ada. Kita menghormati pegawai penguatkuasa kerajaan tetapi kita mempersoalkan dasar dan SOP yang digunakan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan rakyat,’’ katanya.
UNDILAH |