Lelaki Malaysia ditahan cuba seludup lebih 250 haiwan liar hidup dalam bagasi

PIHAK berkuasa Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di Bangkok kerana disyaki cuba menyeludup lebih 250 haiwan liar hidup ke India.

Dalam operasi Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan bersama beberapa agensi penguat kuasa pada 24 Mei lalu, suspek berusia 34 tahun itu ditahan sekitar jam 3.45 pagi berhampiran pintu F3, Zon 3 terminal pelepasan antarabangsa lapangan terbang berkenaan.

Menurut pihak berkuasa Thailand, suspek dijadualkan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhas Chandra Bose di Kolkata, India.

“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuknya menemui haiwan hidup yang disembunyikan di dalam sebuah beg beroda.

“Ia termasuk dua enggang gading, ‘patagonia mara‘ (dua), iguana (62), biawak (lima), mengkarung berlidah biru (100) dan penyu air tawar (80),” kata pihak berkuasa Thailand dalam satu kenyataan.

Menurut pihak berkuasa, suspek didakwa mengikut Akta Pemeliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar 2019, Akta Kastam 2017, Akta Wabak Haiwan 2015 dan Ordinan Diraja Perikanan 2015.

Dia kemudian diserahkan kepada penyiasat di Balai Polis Lapangan Terbang Suvarnabhumi untuk tindakan lanjut.

Haiwan dirampas pula diserahkan kepada pihak berkuasa hidupan liar dan perikanan untuk penjagaan, pengenalpastian spesies, serta dijadikan bahan bukti dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Pihak berkuasa turut memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain disyaki ada kaitan dengan sindiket penyeludupan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img