SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan komitmen tinggi dalam pengurusan tadbir urus kewangan dan pemikiran kreatif apabila merangkul dua anugerah berprestij pada Program Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2026 di Cyber Event Hall, di Cyberjaya semalam.
Menerusi pencapaian cemerlang dalam aspek pengurusan kewangan, SPRM dianugerahkan Anugerah Penarafan Amalan Terbaik Pengurusan Perakaunan Pusat Tanggungjawab (PTJ) JPM Tahun 2025.

Penilaian anugerah terbabit dibuat berdasarkan pematuhan tata cara kewangan menerusi naziran prestasi bil, penghantaran Dokumen Akaun Terimaan (DAT), sijil pengesahan baki serta kertas kerja sokongan penutupan akaun latihan kewangan.

Selain itu, Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM turut membawa pulang pingat gangsa bagi Anugerah Inovasi JPM 2026 menerusi projek Inovasi Bilik Mesyuarat Pintar. Projek berkenaan sebelum ini pernah memenangi Anugerah Khas Pilihan Juri pada Anugerah Inovasi SPRM 2025.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Idris Zaharudin yang mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, serta Timbalan Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan (BKAP), Aiwan Ismail.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Idris menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai bukti iltizam pengurusan tertinggi dan warga kerja SPRM dalam memantapkan tadbir urus.
“Kejayaan ini sebagai tanda komitmen pengurusan tertinggi SPRM serta sokongan warga SPRM dalam memastikan kepelbagaian peranan serta pengurusan kewangan yang terancang agar ia dapat menjadi contoh kepada masyarakat mengenai tahap tadbir urus yang baik,” katanya.





