14 individu didenda RM4,500 kes penipuan pelaburan palsu, love scam

SERAMAI 14 individu, termasuk 11 warga China, masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pakatan jahat jenayah membabitkan penipuan dalam talian.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan terhadap setiap tertuduh sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah, lapor Harian Metro.

Dalam prosiding pertama, tujuh warga China iaitu Li Jiaxiang, 37; Wang Zhidong, 32; Tai Yunxin, 35; Pang Youguang, 46; Sun Fanglei, 32; Hu Yu, 34; dan Huang Chao, 28, didakwa melakukan pakatan jahat jenayah dengan menawarkan pelaburan tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah premis di Lorong Galing 54, Off Jalan Haji Ahmad, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 7 Oktober lalu.

Sementara itu, prosiding berasingan membabitkan tujuh individu lain, terdiri daripada tiga warga tempatan iaitu Tiong Chia Cheun, 31; Ong Kian Hee, 34; dan Rolence Loo Chin Shiang, 32, serta empat warga China iaitu Na Jianguo, 33; Ni Peng, 29; Liu Jiachen, 29; dan Liu Jiayin, 19.

Mereka didakwa melakukan pakatan jahat jenayah bagi menipu mangsa menerusi kegiatan Love Scam dengan menyunting gambar lucah sebelum memperdaya mangsa membuat pembayaran wang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Kubang Buaya, di sini, kira-kira jam 9 malam pada 12 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi. Prosiding pertama turut dihadiri peguam Muhammad Saifuldin Ab Rahman, manakala Ahmad Syamsul Akmar Yusof mewakili tertuduh dalam prosiding berasingan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here