Taktikal UMNO ‘pekena’ Pas di Melaka?

PELBAGAI cerita yang sampai kepada penulis selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai calonnya dalam majlis penuh meriah dan bersemangat bagi memastikan ‘kita geng biru’ terus memerintah Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 14 November ini.

BN akan bertanding 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Daripada 21 kerusi itu 20 kerusi dimenangi oleh BN pada PRN lalu. BN membuat keputusan menyerahkan kerusi DUN Paya Rumput kepada Pas dan rakan-rakannya.

Penyandang kerusi itu Datuk Rais Yasin (BN) yang menang dengan 621 undi majoriti mencuba nasib pula di DUN Sungai Udang – Kawasan yang mempunyai hampir 10,000 pengundi tentera dan pasangan mereka.

Kerusi DUN Sungai Udang itu dimenangi Bersatu dengan majoriti 530 undi pada PRN Melaka 2021, BN mengenepikan prinsip ‘pertahankan kerusi dimenangi’ apabila bertanding di DUN Paya Rumput.

Keadaan itu menyebabkan timbulnya cakap-cakap ia adalah taktikal BN khususnya UMNO untuk memastikan parti tersebut terus menguasai Melaka. Persoalannya adakah menyerahkan tujuh kerusi kepada Pas untuk dikongsi dengan Wawasan, Gerakan, MIPP dan Pejuang dianggap pembahagian yang adil atas semangat ‘hijau sokong biru, biru sokong hijau’? Siapa yang untung sebenarnya?

 Taktikal BN di Melaka  hanya merugikan Pas. Kalau orang Kedah kata ‘nak pekena Pas’. Kalau BN begitu yakin dengan rekod pentadbirannya  yang begitu gah disenaraikan ketika majlis pengumuman calon tersebut, kalaulah mereka begitu yakin mampu menang 21 kerusi itu, kenapakah UMNO tidak bertanding secara solo? Kenapakah UMNO mahu bekerjasama dengan Pas?

Bukankah jumlah 21 kerusi itu sudah amat mencukupi untuk BN menubuhkan kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

Untuk DUN Melaka, majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan ialah 15 kerusi manakala 19 kerusi bagi mencapai majoriti dua pertiga.

Apakah pemberian tujuh kerusi itu akan digunakan sebagai ‘modal’ untuk menuntut kerusi di negeri-negeri dikuasai Pas pada pilihan raya akan datang, sedangkan kesemua tujuh kerusi itu ibarat ‘memaksa’ Pas  untuk ‘berenang di tujuh lautan lumpur’ untuk mencapai kemenangan bersama rakan strategiknya.

Paada PRN 2021, Paya Rumput dimenangi oleh BN dengan majoriti 629 undi, Ayer Keroh (DAP  5,624 undi majoriti), Bukit Katil (Amanah 1,057 undi majoriti) , Kesidang (DAP 10,237 undi majoriti), Kota Laksamana (DAP 11,494 undi majoriti) dan Bemban (PN 328 undi majoriti) dan Bandar Hilir (DAP  7,778 undi majoriti)

Daripada tujuh kerusi itu, Pas dan rakan-rakannya mampu memberi cabaran di tiga kerusi sahaja iaitu Paya Rumput, Bemban dan Bukit Katil. Empat kerusi lagi setakat hendak letakkan calon boleh sahaja. Kalah sudah pasti, menang belum tentu.

Soalnya adakah Pas akan bertanding di kedua-dua kerusi tersebut memandangkan pada PRN 2021, ia kerusi miliki Bersatu.  Baiklah..mungkin Wawasan akan kekal bertanding di DUN Bemban dan Pas diberikan kerusi Paya Rumput, Bukit Katil dan Kesidang.. kalaupun menang apakah signifikannya? Kalau setakat dua tiga kerusi, Pas dan rakan-rakan jangan mimpilah hendak bersuara banyak.

Dalam perbualan penulis dengan pelbagai pihak termasuk penyokong Pas, mereka mahukan Pas bertanding secara solo.Ia bukanlah bermakna bermusuh dengan UMNO tetapi bagi memastikan kerjasama yang wujud bukan sekadar ‘wayang politik yang penuh dengan taktikal’.

Seorang penganalisis memberitahu, jika Pas bertanding solo parti itu berupaya menang tujuh hingga sembilan kerusi. Manakala UMNO pula jika bertanding solo mereka dikatakan boleh menangpun sekitar 10 kerusi sahaja.

Jika jangkaan ini benar maka kenapakah Pas perlu membuat perjanjian yang merugikan dengan UMNO? Lihat kembali 21 kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRN lalu, 11 kerusi menang di bawah 1,000 undi dan 10 kerusi menang di atas 1,000 undi.

Jangan terpengaruh dengan gempita gempita keriuhan ketika majlis pengumuman calon BN. Kalau tengok dalam keadaan dalam dewan MITC tersebut pada Jumaat lalu seolah-olah BN pasti menang besar. Tetapi adakah sentimen itu turut dikongsi oleh rakyat Melaka secara keseluruhannya?

Setakat hari ini penulis tidak fikir mereka berkongsi dengan apa yang diyakini oleh BN. Atas sebab itulah ramai yang merasakan bertanding solo adalah pilihan terbaik untuk Pas dan rakan-rakannya. Bertanding solo bukanlah bermakna bermusuh sebaliknya memberikan pilihan kepada pengundi untuk  membuat keputusan.

Penulis percaya, jentera Pas di seluruh negara akan turun ke Melaka untuk berkempen tetapi biarlah kedatangan itu berbaloi, kalau setakat hendak  memastikan ‘kita geng biru’ menang buat apa – tambahlah kalau kemenangan ‘geng biru’ atas jasa undi ‘geng hijau’.

Jadi pemimpin Pas buatlah keputusan terbaik, masa masih ada. Memetik kata seorang penganalisis, ‘’Pas hanya kenal UMNO tetapi pemimpin Pas belum kenal  taktikal politik pemimpin UMNO.’’



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here