SPRM perkasa kompetensi pegawai, tekankan integriti dan kepimpinan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Kamus Kompetensi Generik (KKG) bagi memastikan pegawainya memiliki kemahiran, keupayaan kepimpinan dan integriti dalam menghadapi cabaran tugas yang semakin kompleks.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi berkata, pegawai agensi itu perlu memiliki kompetensi menyeluruh dan bukan sekadar bergantung kepada pengetahuan, selaras dengan keperluan tugas semasa serta Pelan Strategik Sumber Manusia 2026–2030.

DATUK Junipah Wandi. GAMBAR: SPRM

“SPRM memerlukan pegawai yang berfikiran strategik, berupaya membuat pertimbangan tepat, memimpin secara berkesan, berkomunikasi dengan jelas serta sentiasa bertindak profesional dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pembangunan Kamus Kompetensi Generik (KKG) SPRM Bahagian dan Negeri Tahun 2026 di Dewan Serbaguna ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) SPRM, Ismail Mohamed Yusof.

Bengkel anjuran BKP SPRM itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini membabitkan penyertaan 70 pegawai daripada pelbagai bahagian di Ibu Pejabat serta SPRM negeri.

Program berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan dan input bagi mengenal pasti serta memperincikan kompetensi generik yang bersesuaian dengan fungsi, peranan dan keperluan setiap sektor dalam SPRM.

Junipah dalam pada itu berkata, pembangunan KKG berteraskan empat domain utama, iaitu Think (Berfikir), Lead (Memimpin), Speak (Berkomunikasi) dan Act (Bertindak), bagi membentuk keupayaan pegawai secara menyeluruh.

Katanya, kerangka itu merangkumi keupayaan berfikir secara analitis dan strategik, membuat keputusan tepat, memimpin dengan berkesan, berkomunikasi secara meyakinkan serta bertindak pantas dengan mengutamakan integriti dan hasil.

“SPRM memerlukan pegawai yang mampu ‘Think’ dengan tajam, ‘Lead’ dengan berkesan, ‘Speak’ dengan meyakinkan dan ‘Act’ dengan penuh integriti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa KKG perlu dibangunkan sebagai kerangka yang praktikal, boleh diukur dan relevan dengan situasi sebenar di lapangan, bukannya sekadar dokumen rujukan pentadbiran.

Sebaliknya, tambah beliau, kerangka itu perlu menjadi instrumen pembangunan kompetensi yang dapat diterjemahkan kepada tindakan berimpak tinggi dalam pelaksanaan tugas pegawai SPRM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here