Polis sahkan anggota Maritim Malaysia maut ketika kejar bot bawa PATI

POLIS mengesahkan seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut manakala tiga lagi cedera selepas bot dinaiki mereka dipercayai terlanggar tembok di pesisir pantai Sungai Padang di Kangar ketika operasi mengejar bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI), tengah malam tadi.

Menurut polis, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika pasukan penguat kuasa berkenaan mengejar sebuah bot yang membawa sembilan PATI warga Myanmar.

Anggota yang maut dikenal pasti sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, lapor BH.

Katanya, menurut maklumat awal, kehilangan Mohd Roshaimi hanya disedari rakan setugas selepas mendapati jumlah anggota tidak mencukupi.

Beliau berkata, gerakan mencari kemudian dijalankan sebelum mangsa ditemukan kira-kira sejam selepas kejadian.

Tiga lagi anggota yang cedera dilaporkan dalam insiden berkenaan, namun butiran lanjut mengenai keadaan mereka belum diperoleh, jelas beliau.

Sementara itu, ahli keluarga Allahyarham berkumpul di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar bagi menunggu urusan bedah siasat dan memandikan jenazah selesai.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, selepas proses bedah siasat selesai.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here