JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan sindiket menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit 30 unit pelayan (server) yang dilengkapi cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi bernilai hampir RM49.5 juta.
Rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan di sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Oktober lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, siasatan awal mendapati pelayan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia menggunakan satu bil jalan udara, dengan barangan itu diisytiharkan sebagai komponen elektronik.
Tindakan itu disyaki bertujuan mengelakkan penghantaran berkenaan dikesan pihak berkuasa sebelum dieksport semula ke sebuah negara Asia lain.
“Sindiket juga disyaki menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit bagi memastikan tiada sebarang sekatan semasa pengeksportan server ke negara seterusnya,” katanya dalam sidang media di JKDM KLIA di Sepang hari ini, lapor Bernama.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sekretariat Perdagangan Strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Masyita Ismail berkata, cip AI berkapasiti tinggi itu tertakluk kepada kawalan ketat kerana dikategorikan sebagai barangan dwikegunaan.
Menurutnya, barangan berkenaan boleh digunakan untuk tujuan awam, namun turut berpotensi dimanfaatkan bagi kegunaan ketenteraan.
“Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010 mengawal barangan dwikegunaan kerana ia boleh dimanfaatkan untuk pembangunan teknologi senjata pemusnah massal,” katanya.
Bagaimanapun, Masyita enggan mendedahkan jenama, negara asal dan destinasi akhir cip berkenaan berikutan siasatan yang masih berjalan.
Sementara itu, Aspalila berkata, rampasan terbaharu itu merupakan kes kelima membabitkan sindiket sama tahun ini, dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM100 juta.
Katanya, syarikat pengendali penghantaran barangan sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes terdahulu, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010, yang memperuntukkan denda sehingga RM20 juta terhadap pertubuhan perbadanan, tambah beliau.





