AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) semalam menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang cuba membawa wang tunai termasuk mata wang Singapura bernilai hampir RM3 juta yang tidak diisytiharkan ke Singapura.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pasangan itu yang menaiki kereta Toyota Alphard berwarna putih ditahan ketika pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Baharu.
Katanya, ketika pemeriksaan pemandu kenderaan menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal sebelum diarahkan membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang untuk pemeriksaan lanjut, lapor Sinar Harian.
“Hasil pemeriksaan menemui wang tunai RM1,971,697 dan SGD300,000 yang disimpan di dalam tiga kotak, sebuah beg galas hitam dan sebuah beg kertas,” katanya.
Nasaruddin berkata, pasangan berusia 41 dan 42 tahun itu yang juga ahli perniagaan mendakwa mahu masuk ke Singapura untuk bercuti.
Bagaimanapun, katanya, tujuan sebenar wang tunai berkenaan dibawa ke Singapura dan alasan ia tidak diisytiharkan masih dalam siasatan pihak berkaitan, termasuk pihak Jabatan Kastam.
Menurutnya, semakan awal juga mendapati pasangan berkenaan tiada rekod berkaitan aktiviti penyelewengan.
Tambahnya, wang tunai dan kenderaan yang digunakan ditahan serta disita sebelum diserahkan kepada kastam untuk tindakan lanjut.
“Pasangan berkenaan akan direman hari ini untuk disiasat mengikut Peraturan 55(1)(b), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
“Menurut peraturan itu, individu yang membawa wang tunai melebihi had ditetapkan melebihi nilai bersamaan USD10,000 (kira-kira RM40,000 wajib membuat pengisytiharan kepada pihak berkuasa. Kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada tindakan undang-undang,” katanya.





