KEGIATAN 20 warga asing menjadikan empat unit kediaman di Jalan San Peng, Pudu di Kuala Lumpur sebagai pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bermula pada 11.45 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu.
Beliau berkata individu yang ditahan adalah 17 lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 43 tahun terdiri daripada warga Taiwan (lima), China (empat), India (lima) dan Thailand (enam).
“JIM merampas empat pasport Taiwan, empat pasport China serta tiga pasport Thailand. Turut disita adalah 45 unit telefon bimbit, komputer (lapan), komputer riba (tiga), penghala Internet (lima), walkie-talkie (empat), kad akses, skrip penipuan dalam bahasa Thailand serta pelbagai jenis ubat-ubatan dipercayai dari luar negara.
“Wang tunai berjumlah RM5,370 serta mata wang asing iaitu 1,400 Myanmar Kyat, 36,000 Kemboja Riel, 4,280,000 Vietnam Dong dan 31,000 dolar Taiwan turut dirampas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah dengan menyewa premis kediaman mewah untuk dijadikan pusat operasi kegiatan penipuan pelaburan itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Beliau berkata sindiket tersebut dipercayai beroperasi sejak sebulan lepas dan menyasarkan mangsa dari Thailand, India, Taiwan serta Jepun.
“Siasatan mendapati warga asing berkenaan bertindak sebagai kumpulan operator yang menjalankan kegiatan penipuan itu dari 8 pagi hingga 8 malam dan tidak dibenarkan keluar secara bebas. Bekalan makanan juga dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan,” katanya.
Zakaria berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk membantu siasatan.





