Tersuratnya BN meterai perjanjian dengan PN…tersiratnya Pas diutamakan

MALAM tadi, secara rasmi permeteraian perjanjian persefahaman antara Barisan Nasional dengan rakan strategik Pas yang mewakili parti-parti daripada Perikatan Nasional (PN)  bagi menghadapi Pilihanraya Negeri Melaka ke-16.

Dua pemimpin Pas iaitu Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan mewakili PN. Tetapi agak menarik apabila bercakap soal kerjasama ini, pemimpin UMNO lebih selesa menyebut Pas daripada Perikatan Nasional (PN).

Penulis bukanlah mempertikaikan keikhlasan atau mengatakan ada ‘udang di sebalik batu’ berkaitan perjanjian itu, cuma tertanya-tanya kenapa tidak dijemput semua komponen PN yang lain sekurang-kurangnya untuk menyaksikan majli bersejarah itu.

Kalau tak nak jemput Bersatu tu, penulis fahamla sebab Bersatu panggil mesyuarat tergempar PN pun tak datang..lepas tu nanti ‘merengek’ kat belakang, tetapi bagaimana dengan Wawasan, Gerakan, MIPP?

Kenapa Presiden Wawasan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau dan Presiden MIPP Datuk P. Punithan tidak ada? Perjanjian itu antara BN-PN bukannya BN dan Pas semata-mata?

Atau adakah dalam PRN Melaka nanti, Pas bertanding di ke tujuh-tujuh kerusi ‘lautan maut’ yang ‘ditinggalkan’ BN kepada PN sebab itulah BN hanya panggil Pas sahaja.

Tetapi sebenarnya penulis tidak terkejut dengan keadaan itu kerana sejak awal lagi ada gosip-gosip , UMNO tidak mahu berunding dengan Wawasan khususnya Hamzah. Sebahagian pemimpin dan ahli UMNO masih belum dapat menerima Hamzah.

Apatah lagi mereka melihat sebagai Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen Larut itu berpotensi menjadi saingan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmd Zahid Hamidi untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Malahan penulis diberitahu, dalam kalangan pemimpin Paspun ada yang tidak selesa dengan Hamzah yang dilihat lebih menonjol berbanding Pengerusi PN Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar. Namun ia bukan salah Hamzah, cumanya kalau dibandingkan dengan pemimpin Pas dari segi pengalaman pentadbiran Hamzah lebih ke depan, walaupun tidak menjadi MB.

Dalam senario PRN Melaka pula, BN melihat Pas lebih berharga daripada Wawasan, Gerakan dan MIPP. Walaupun tidak sehebat UMNO tetapi kebangkitan Pas semakin terasa di Melaka. Malah penyokong Pas boleh memastikan kemenangan calon BN jika bertembung dengan calon PH,Bersama dan Bersatu. Atas sebab itulah, bukan rahsia lagi perpaduan Melayu yang diuar-uarkan oleh UMNO hanya berkisar soal Pas. Parti lain termasuk Wawasan nak masuk belum tentu disambut, tak masuk lagi bagus.

Kesimpulannya, kerjasama BN sebenarnya dengan Pas sahaja walaupun penyokong BN diseru memberi sokongan padu kepada calon PN keseluruhannya. Apapun nasihat penulis kepada penyokong Pas ingat laungan BN  ‘’Kita birukan Melaka’’…Tak pasti  sama ada biru BN atau Biru PN..yang pasti di Melaka belum dengar lagi laungan ‘gelombang hijau’.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here