KERAJAAN Negeri Kelantan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada kepada semua penjawat awam termasuk lantikan kontrak melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7.13 juta.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan yang disalurkan bermula Gred Utama B dan ke bawah, termasuk kakitangan lantikan politik di negeri itu.
Katanya, pembayaran bantuan khas kewangan itu dilaksanakan secara dua peringkat iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan menjelang ambang Hari Kebangsaan.
“Bantuan ini merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan dan dedikasi penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta memenuhi keperluan rakyat.
“Ia turut dipanjangkan kepada lantikan politik dengan kadar bantuan ditentukan oleh kerajaan negeri,” katanya pada Persidangan Kali Ketiga Belanjawan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini, lapor harakahdaily.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan Negeri Kelantan 2027, termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai dan kakitangan kerajaan, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan.
Penghargaan turut diberikan kepada semua pihak yang menyumbangkan pandangan dan cadangan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri dalam merangka belanjawan berkenaan.
Beliau juga merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas hubungan antara kerajaan (G2G) yang semakin kukuh, khususnya menerusi kerjasama erat antara kementerian dan agensi Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Kelantan.
Katanya, kerjasama itu penting bagi memperkasa pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Nassuruddin membentangkan Belanjawan Kerajaan Kelantan 2027 berjumlah RM1.383 bilion dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, pengukuhan perkhidmatan asas dan pembangunan ekonomi jangka panjang.
Belanjawan bertemakan “Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam” itu menggariskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap peruntukan memberi manfaat kepada rakyat berteraskan prinsip amanah, keadilan dan keprihatinan sosial.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM1.087 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM296 juta disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Menurutnya, belanjawan berkenaan dirangka bagi memastikan keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan kumpulan rentan, terus diberikan perhatian.





