Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas syabu RM434,400

BATALION 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kumpulan pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk pasangan kekasih serta merampas 5.2 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM434,400 dalam operasi di Batu Pahat dan Muar, kelmarin.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan dalam operasi membanteras kegiatan disyaki pengedaran dan penyeludupan dadah pada jam 8.35 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintenden Shohaiami Ismail berkata, operasi dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 6 PGA Muar itu turut menemukan lima bungkusan plastik berisi dadah berkenaan.

Menurutnya, dua kenderaan iaitu Toyota Vios dan Honda Civic FD yang dipercayai digunakan dalam kegiatan terbabit turut dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM434,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi berkenaan dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan tidak berbumbung bersebelahan sebuah pasar raya di Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.

Katanya, kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta peruntukan berkaitan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Shohaiami berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan usaha berterusan pihak polis, khususnya PGA, dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung kegiatan pengedaran dadah atau aktiviti menyalahi undang-undang bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here