Masjid Jamek Kuala Klawang tidak adakan solat Jumaat, jemaah tunaikan Zuhur

JEMAAH Masjid Jamek Kuala Klawang di Jelebu menunaikan solat Zuhur sebagai ganti solat Jumaat hari ini susulan isu peletakan jawatan imam bertauliah masjid berkenaan, Selasa lalu.

Peletakan jawatan imam itu dipercayai berkait dengan bantahan terhadap arahan memasukkan nama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan individu yang dikaitkan dengan kedudukan Undang Luak Jelebu dalam teks khutbah Jumaat.

Imam berkenaan dilaporkan mengambil keputusan meletakkan jawatan selepas menerima arahan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) supaya nama Undang Luak Jelebu yang baharu dimasukkan dalam khutbah.

Keputusan itu turut dimaklumkan kepada pegawai JHEAINS untuk tindakan selanjutnya, lapor BH.

Terdahulu, JHEAINS menerusi surat bertarikh 26 Oktober yang ditujukan kepada pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan pengerusi surau kebenaran Jumaat mengeluarkan arahan berhubung penggunaan teks khutbah yang disediakan jabatan berkenaan.

Surat itu memaklumkan JHEAINS diberikan kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), berdasarkan surat bertarikh 16 Oktober, untuk menyediakan, mengeluarkan, mengedarkan atau memperakui teks khutbah bagi kegunaan masjid dan surau di negeri ini.

Kuasa berkenaan adalah selaras dengan Seksyen 15 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 (Pindaan 2024).

Menerusi arahan itu, semua pengerusi masjid dan surau Jumaat dikehendaki memastikan khatib menyampaikan khutbah menggunakan teks yang disediakan JHEAINS.

Kegagalan mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 113A(2) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2004).

Peruntukan itu menyatakan individu yang membaca atau menyampaikan khutbah selain teks yang disediakan, dikeluarkan, diedarkan atau diperakui Majlis boleh melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, beberapa penduduk tempatan ketika dihubungi mengesahkan solat Jumaat tidak dilaksanakan di Masjid Jamek Kuala Klawang hari ini.

Pihak media masih berusaha mendapatkan pengesahan dan penjelasan lanjut daripada JHEAINS serta Jabatan Mufti Negeri Sembilan berhubung perkara itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here