Polis buka dua kertas siasatan kes lapan skrin LED digodam di Kluang

POLIS membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian lapan skrin paparan diod pemancar cahaya (LED) milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) digodam sehingga memaparkan kandungan lucah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun berhubung kejadian itu hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu dimaklumkan kakitangannya mengenai pencerobohan sistem paparan pada lapan skrin LED yang dipasang di sekitar daerah berkenaan.

“Pengadu kemudian menerima beberapa kiriman menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan rakaman tangkap layar dan video kandungan lucah pada skrin LED terbabit.

“Susulan kejadian itu, pengadu menghubungi pihak pembekal untuk mendapatkan pengesahan sebelum mengambil tindakan memutuskan bekalan kuasa bagi menghentikan paparan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, MPK mengesahkan sistem paparan LED miliknya diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan video lucah ditayangkan pada skrin berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan itu turut memohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan insiden berkenaan.

Kejadian itu menjadi tular dalam media sosial dan kumpulan WhatsApp selepas beberapa skrin LED yang dipasang MPK didapati memaparkan kandungan lucah.

Bahrin dalam pada itu berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu.

“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here